Jan 23 2010

Kasih Sayang Dan Perhatian Untuk Disiplin Anak

Dunia penuh global ini menyebabkan perubahan dalam gaya hidup penghuninya. Ramai yang telah menggantikan kasih sayang dengan harta benda dan kemewahan. Pada anggapan mereka kemewahan dan kesenanagan itu akan membawa kebahagiaan kepada anggota keluarga. Malahan ada sebahagiaan menganggap kehadiran ibu bapa di dalam kehidupan akan menganggu privacy dan juga sebaliknya.

Kasih sayang ialah cinta kasih manakala perhatian ialah tumpuan yang diberikan, begitulah maksud menurut Kamus Dewan. Apakah cukup dengan definisi ini? Tidak sama sekali. Ibu bapa perlu berikan kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak lebih daripada itu. Keperluan material, jasmani, rohani, masa serta kehadiran ibu bapa di dalam kehidupan anak-anak seharian amat diperlukan.

Cuba kita renung kembali sewaktu anak-anak masih kecil dulu. Ia diberi perhatian, dicium dipeluk, dan dibelai setiap hari. Segalanya dilakukan bersama anak-anak. Tetapi bila mereka meningkat dewasa segalanya umpama mimpi sahaja. Kononnya anak-anak merasa malu untuk dimanja-manja. Apakah anak-anak tidak mahu dimanja?

Adakah itu sahaja cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa sebagai tanda kasih dan sayangkan anak-anak? Tidak. Pelbagai cara yang boleh ibu bapa rangka dan buat untuk kebahagiaan keluarga. Mari kita sama-sama renung untuk memperbaiki hubungan antara kita dengan anak-anak.

1. Berapa Banyak Masa Untuk Bersama Anak-anak

Masa sering menjadi penyebab berlakunya ruang antara ibu bapa dengan anak-anak. Memang tidak dapat dinafikan, dunia kini memaksa ibu bapa mengejar kerjaya masing-masing untuk menampung keperluan hidup. Kita sering kesuntukan masa untuk bersama anak-anak. Sebelum anak bangun kita telah ke pejabat dan pulang adakalanya mereka sudah nyenyak. Hanya hujung minggu sahaja dapat bersama anak-anak, itu pun kalau tiada tugasan luar atau kerja sambilan.

Bimbingan yang diterima sepeninggalan kita adalah dari nenek, orang gaji ataupun pengasuh. Apakah ia mencukupi? Anak-anak mungkin lebih mesra dengan orang gaji. Cuba kita fikirkan. Apakah anak-anak ini boleh menerima teguran daripada orang yang hanya mereka kenali pada hujung minggu sahaja? Terpulang kepada anda untuk menjawabnya.

2. Lebih Masa Bersama Atau Material

Ibu bapa sering memberi segala yang termampu kepada anak-anak demi kebahagiaan mereka. Kelengkapan keperluan anak-anak selalu dipenuhi tanpa banyak persoalan. Apa yang anak-anak minta akan dipenuhi dengan kemampuan yang ada. Contohnya, wang, komputer, barang mainan, pakaian dan seumpamanya. Semua disediakan dengan baik. Tetapi kenapa kadang-kadang mereka tidak mahu mendengar nasihat serta teguran? Sering melawan, degil, liar serta tidak mempedulikan perasaan ibu bapa.

Seringkali kita tertanya-tanya, apa lagi kekurangan dan keperluan yang belum dipenuhi. Sedangkan setiap permintaan dan kelengkapan itu sudah kita sediakan. Jawapannya ialah mereka memerlukan ibu bapa bersama dalam hidup mereka.

3. Lebih Manja Atau Kekurangan

Sukar untuk kita menentukan sukatan sebenar dalam memberi kasih sayang dan perhatian terhadap anak-anak. Andai ia terlalu dimanjakan maka, mereka akan bertindak tanpa matang dan sering bergantung kepada kita. Anak-anak susah untuk berdikari dan selalu inginkan perhatian. Jika perhatian tidak diberi, mereka akan mengambil tindakan yang kadang kala boleh memudaratkan untuk memperoleh perhatian ibu bapa semata-mata.

Sekiranya perhatian dan kasih sayang yang diberi itu tidak seperti diharapkan, mereka menjadi liar dan sukar dikawal. Sering kali kita dengar anak-anak lari dari rumah untuk mencari dan mendapat perhatian serta kasih sayang daripada orang luar. Oleh itu, jalan pertengahan merupakan jalan terbaik dalam memberi kasih sayang dan perhatian pada anak-anak. Terpulang kapada anda… anak anda adalah diri anda.

4. Lebih Kehadiran Ibu Bapa Atau Penjaga

Kita sering berpendapat jika ada orang yang menjaga anak-anak, mereka akan merasa selamat, terjaga dan dalam perhatian. Pengasuh merupakan tempat perantaraan atau sebagai ibu bapa kedua anak-anak. Maka segala keperluan dan masa diatur oleh pengasuh atas arahan ibu bapa sebagai majikan. Apabila anak sakit dan ditinggalkan kepada pengasuh. Maka anak-anak ini lebih menghargai perhatian pengasuh daripada ibu bapa.

Oleh sebab itu, sering kali kita mendengar rungutan daripada ibu bapa tentang anak-anak yang tidak mengendahkan teguran mereka. Anak-anak lebih mendengar teguran pengasuh yang lebih membela dan membesarkan mereka setiap hari. Siapakah yang bersalah dalam soal ini? Cuba kita fikirkan bersama.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama salin memperingati bahawa anak-anak yang dianugerahkan itu bukan sahaja perlu dijaga lahiriah sahaja tetapi segala-galanya. Kebahagian dan keperluan hidup mereka adalah satu tugas yang amat penting dan perlu dilaksanakan sebaik-baiknya. Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh ibu bapa sendiri. Jika ia diberikan kepada orang lain, maka rugilah kita kerana akan kehilangan permata yang tak ternilai harganya.

Ikhlas,

Bazri Alias

http://www.pustakabazri.com

http://www.pustakatimur.com

http://www.ebookpustaka.com

LEAVE A COMMENT

Subscribe Form

Subscribe to Blog