Hidup Pun Susah Mati Pun Lagi Susah
- 612 Comment
Ulama Membisu Urus Jenazah Dikomersialkan
SUDAH lama saya ingin timbulkan mengenai isu pengurusan jenazah orang Islam. Saya melihat pengurusan jenazah Islam kini lebih bersifat komersial dan sesuatu perlu difikirkan oleh semua pihak terutama pihak berkuasa, sama ada kaedah dilaksanakan kini mengikut lunas ditetapkan Islam.
Kematian seorang kawan di Terengganu membuatkan saya ingin menimbulkan masalah ini. Jenazah rakan saya disembahyangkan sekumpulan jemaah dengan bayaran RM250.
Begitu juga di Melaka, ada kumpulan tertentu, dengan pengetahuan Majlis Agama Islam Melaka mengenakan bayaran untuk mandikan dan kafan jenazah saja. Kalau jenazah pesakit HIV dikenakan RM480, kalau jenazah biasa RM380.
Isu yang saya ingin bangkitkan ialah adakah dibolehkan dalam Islam, bayaran tetap dibuat kepada kerja fardu kifayah membabitkan mandi, kafan dan sembahyang jenazah. Mengapa kita perlu bebankan keluarga si mati dengan masalah kewangan? Bukankah haram bagi kita makan dan minum sekali pun di rumah keluarga si mati. Apatah lagi untuk mengambil wang ringgit daripada mereka? Mengapakah gejala ini berlaku? Seolah-olah setiap kematian orang Islam hendak dijadikan satu perniagaan dan industri seperti mana kematian dalam agama lain.
Nampak gayanya dalam 10 tahun akan datang, kalau kita tidak mempunyai duit banyak maka tidak boleh kita mati. Kalau mati, bermakna tidak dikapan atau dikebumikan. Juga mungkin tiada lagi orang nak sembahyang mayat kerana semuanya perlu ada duit. Setahu saya Islam hanya mengharuskan upah diterima dari kematian orang Islam dalam hal menggali kubur saja. Lain-lain bayaran diharamkan kerana menjadi kewajipan orang yang hidup untuk menyempurnakan jenazah. Bukan membebankan keluarga si mati.
Atas apa pun alasan berkaitan pengurusan jenazah ini, sesen wang pun tidak boleh diambil daripada keluarga si mati atau berkaitan dengan kematian orang Islam. Ia fardu kifayah dan kewajipan yang hidup bagi menyempurnakannya. Kematian bukan perniagaan. Tugas kariah untuk menguruskan jenazah ini. Bukan dibebankan kepada si mati dan keluarganya.
Persoalannya, mengapa ulama masih membisu dan sesetengahnya membenarkan ia berlaku dan sebahagian lain yang mahir ilmu agama terbabit dalam urusan ini? Jangan jadikan alasan sedekah, pemberian sagu hati dan sebagainya bagi menghalalkan kegiatan ini.
ARIS @ ARIF OMAR,
Melaka
Petikan Berita Harian
10/09/2009

