Feb 7 2009

Ikut Perasaan Atau Ikut Peraturan ( Disiplin )

TRAUMA DITAMPAR GURU

Oleh Ahmad Saufi Mansor

opie@hmetro.com.my

MELAKA: Seorang pelajar perempuan yang baru tiga hari mendaftar masuk sebuah sekolah menengah di Jasin dekat sini, trauma akibat ditampar guru disiplin kerana didakwa mempunyai hubungan songsang dengan rakan perempuannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari Rabu lalu, pelajar tingkatan empat berkenaan, Nurul Ain Farahana Muharam, 16, dari Felda Bukit Senggeh di sini, mendakwa dipanggil ke bilik guru terbabit sebelum tamat sesi persekolahan.

Sebaik memasuki bilik berkenaan, dia mendapati rakan perempuannya, Ayuni Mohd Fauzi, 16, menangis dengan mata kemerahan dipercayai dimarahi guru lelaki berusia 40-an itu dengan pelbagai perkataan kurang enak.

Nurul Ain berkata, dia kemudian diarah guru terbabit supaya mengaku mencium Ayuni. Sebaik dia mengiakannya, guru terbabit terus menampar pipi kanannya menyebabkan dia terkejut dan pening.

Menurutnya, guru berkenaan mendakwa dia melakukan hubungan songsang dengan Ayuni di rumah ibu saudara rakan perempuannya itu di Kampung Gubah, Nyalas, dekat sini.Katanya, guru terbabit kemudian menghubungi bapanya bagi memaklumkan kejadian itu supaya datang ke sekolah pada keesokan harinya.

“Saya dengan Ayuni memang berkawan rapat sejak setahun lalu, tapi kami terpisah selepas dia berpindah ke sekolah lain dan apabila bertemu semula di sekolah sama, hubungan kami kembali mesra tanpa ada perasaan lain.

“Memang saya ada mencium pipi Ayuni tapi itu tidak bermakna saya melakukan perbuatan tak senonoh. Lagipun, perbuatan itu dilakukan di depan ibu saudaranya dan dakwaan kami mempunyai hubungan songsang memang tidak berasas,” katanya yang berkunjung ke pejabat Harian Metro di sini, semalam.

Keluarga Nurul Ain yang mengetahui kejadian itu membuat laporan di Balai Polis Nyalas, Jasin, semalam untuk tindakan lanjut sebelum melakukan pemeriksaan di Hospital Jasin.

Nurul Ain berkata, tindakan guru lelaki itu menampar pipinya tanpa sebarang usul periksa cukup dikesali kerana mudah mempercayai cerita pihak ketiga tanpa bertanyakan kebenaran daripadanya.

Katanya, dia kini mengalami trauma akibat kejadian berkenaan dan meminta keluarganya memindahkannya ke sekolah lain kerana tidak sanggup berdepan keadaan seperti itu walaupun baru tiga hari memasuki sekolah berkenaan.

Sementara itu, bapa pelajar berkenaan, Muharam Kasan, 65, kesal dengan kejadian menimpa anak bongsu daripada 13 beradik itu.

Menurutnya, dia ada bertemu dengan pengurusan sekolah termasuk guru lelaki terbabit yang meminta maaf terhadap kejadian berkenaan.

“Saya tak kisah kalau guru berkenaan mengambil tindakan jika anak saya melakukan kesalahan disiplin tapi bukan terus menghukum tanpa sebarang usul periksa,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md Amin ketika dihubungi, berkata pihaknya akan meminta pihak sekolah menjalankan siasatan terhadap kejadian itu.

“Kita akan menyiasat perkara ini dulu sama ada untuk mengambil tindakan atau sebaliknya kepada guru berkenaan,” katanya.

Dipetik dari”

Harian Metro ( 07 Feb 2009 )

LEAVE A COMMENT

Subscribe Form

Subscribe to Blog