Jan 28 2011

Peranan Keluarga Terhadap Perkembangan Anak

Keluarga  memainkan peranan yang penting dalam perkembangan mental, emosi dan sosial kanak-kanak. Sesebuah keluarga yang stabil dan hidup aman damai membolehkan kanak-kanak berasa seronok tenteram dan selamat. Sebaliknya keluarga yang hidupnya bermasalah seperti kemiskinan, konflik di antara suami isteri dan ramai anak berkemungkinan buat sementara waktu akan menjejaskan kebahagiaan sesebuah keluarga. Dengan itu secara langsungnya masalah keluarga akan terbawa-bawa oleh kanak-kanak semasa berada di sekolah. Kanak-kanak akan menganggap ibu bapa mereka tidak memberi perhatian dan layanan yang sepatutnya kepada mereka ( Mohd. Salleh Lebar, 1993, muka surat 57 ).

Kajian menunjukkan ada perkaitan di antara konflik dalam rumahtangga terhadap hubungan ibu bapa-anak. Keadaan emosi di dalam rumahtangga merupakan pengaruh alam sekeliling yang mendatangkan kesan yang besar kepada perkembangan anak-anak. Kanak-kanak bukan sahaja memerlukan keperluan jasmani tetapi mereka juga memerlukan keperluan psikologi.

Konflik di dalam rumahtangga akibat daripada pertengkaran antara orang-orang yang penting kepada kanak-kanak seperti ibu dan bapa akan mengadakan suasana yang buruk kepada kanak-kanak. Di dalam keadaan ini kanak-kanak akan merasa terancam dan tidak mendapat perlindungan. Kalau konflik ini membawa kepada perceraian, akibatnya akan menjadi lebih besar lagi kepada sahsiah kanak-kanak yang berkenaan. Kebanyakkan kanak-kanak yang datangnya daripada keluarga yang bercakaran atau keluarga yang berpecah belah disebabkan oleh perceraian adalah mempunyai masalah di dalam kehidupan mereka ( Atan Along, 1978, muka surat 110 ).

Gangguan atau konflik perkahwinan mungkin jelas kelihatan di mana kedua-dua suami isteri sentiasa berada dalam suasana tidak harmorni dan konflik. Mereka kelihatan mudah bertengkar, tuduh menuduh, bermaki hamun dan cepat bercakaran sebaik-baik sahaja ada perkara yang tidak kena. Biasanya, anak-anaklah yang menjadi mangsa, bila perkembangan mereka terencat lantaran keadaan yang tidak mesra di antara kedua-dua ibu bapa mereka yang berada dalam suasana ketidakfungsian yang tidak begitu nyata. Perkahwinan yang sentiasa dilanda konflik bercirikan ketegangan dan pergaduhan yang bertali arus ( Dr. Muhammad Hatta Shaharom, 1989, muka surat 31 ).

Ini akan mempengaruhi perkembangan jiwa kanak-kanak di mana kecelaruan dalam emosi mereka akan mempengaruhi pemikiran kanak-kanak tadi terhadap hubungan ibu bapa-anak. Pemikiran yang negatif di kalangan kanak-kanak ini boleh dinatijahkan oleh perhubungan ibu bapa kanak-kanak yang tidak stabil pada awal kehidupan, asuhan tanpa kasih sayang, kehilangan antara satu atau kedua-dua ( Bowlby, 1980 ). Keseluruhan kesemua ini boleh menyebabkan kanak-kanak gagal untuk mengikat perhubungan yang mesra dan lama dalam pertalian peribadi ( Dr. Muhammad Hatta Shaharom, 1989, muka surat 83 ).

Kajian juga melihat perhubungan antara kasih sayang di dalam perkahwinan dengan hubungan ibu bapa-anak. Suasana rumah yang mesra dan harmonis adalah menggalakkan bagi perkembangan personaliti yang sihat. Perhubungan ibu bapa yang baik akan menjamin suasana rumah yang tenteram yang amat diperlukan untuk perkembangan personaliti kanak-kanak ( Ee Ah Meng, 1991, muka surat 147 ).

Menurut hierarki keperluan Maslow ( 1970 ), keperluan kasih sayang merupakan satu keperluan yang amat penting kepada setiap individu. Kanak-kanak memerlukan kasih sayang dan penerimaan daripada ibu bapa dan keluarganya. Sepanjang hidup, manusia memerlukan kasih sayang dan penerimaan masyarakat bagi memenuhi proses perkembangan psikologi yang sihat. Kasih sayang ini akan memnyebabkan manusia itu berkembang dengan sempurna, terutamanya daripada aspek perkembangan emosi ( Ee Ah Meng, 1991, muka surat 120 ).  Jika keperluan ini tidak dipenuhi, manusia akan berasa gelisah, tidak tenteram dan kecewa. Seterusnya, gangguan emosi akan timbul.

Menurut Eric Berne ( Teori Analisis Transaksional ), menyatakan skrip kehidupan yang paling mempengaruhi kanak-kanak ialah ibu bapa. Sejak lahir lagi kebiasaannya ibu bapa telah menunjukkan contoh, membentukkan keperibadian dan matlamat kehidupan anak-anak mereka. Cara dan gaya ibu bapa bertindak dan mendidik akan diprogramkan oleh kanak-kanak apabila mereka meningkat dewasa.

Kanak-kanak akan berasa sempurna, termilik dan dihargai sekiranya ibu bapa selalu menyayangi. Kanak-kanak akan membina skrip dan perancangan hidup yang tidak sempurna dan berbentuk negatif sekiranya mereka selalu dimarah dan dipandang rendah oleh ibu bapa. Jadi, hubungan kasih sayang dalam perkahwinan ( ibu bapa ) serta hubungan kasih sayang ibu bapa dengan anak mempunyai hubungan yang signifikan.

Ibu bapa akan dapat memberikan sumbangan mereka dengan sebaik-baiknya kepada kanak-kanak dan masyarakat amnya kalau mereka dapat memberikan suasana penerimaan terhadap kanak-kanak di mana mereka mendapat rasa kasih sayang serta galakan. Ibu bapa sepatutnya menyediakan satu susunan peraturan dan ukurtara serta memberikan rasa perlindungan kepada kanak-kanak ( Atan Long, 1978, muka surat 316 ).

Sepasang suami isteri patut sedar bahawa mereka memerlukan keseragaman konsep dan sikap dalam pengendalian kehidupan bersama. Di samping itu mereka berfungsi sebagai penyempurna sifat-sifat pasangan mereka yang masih lemah, lantas saling bantu membantu, bagai aur dengan tebing ( Dr. Muhammad Hatta Shaharom, 1989, muka surat 18 ). Ini akan dapat mengelak berlakunya konflik dalam sesebuah perkahwinan di mana ia ada hubung kait dalam konflik antara ibu bapa-anak sebagaimana kajian tersebut.

Pengurusan rumahtangga adalah bidang yang sepatutnya menerima perhatian kedua-dua suami isteri dengan wajar walaupun seorang isteri sememangnya menjadi permaisuri dan pengurus besar rumahtangga. Pada dasarnya mereka ( suami isteri ) patut berpuas hati dengan pendapat serta konsep tentang kehidupan yang dianuti bersama. Jika mereka bertelagah tentang perkara yang asas ini, asas rumahtangga tidak akan kukuh ( Dr. Muhammad Hatta Shaharom, 1989, muka surat 23 ).  Ia juga berhubung rapat dalam perhubungan antara ibu bapa dengan anak.

Kesimpulanya, apabila berlaku konflik dalam perkahwinan ( ibu bapa ) akan mempengaruhi hubungan konflik antara ibu bapa dengan anak. Manakala jika wujud kasih sayang dalam perkahwinan ( ibu bapa ) juga akan mewujudkan hubungan kasih sayang terhadap hubungan ibu bapa dengan anak.

Justeru itu, peranan ibu bapa amat penting dalam mengendalikan sesebuah perkahwinan. Keharmonian dalam hubungan perkahwinan akan melahirkan anak-anak yang mempunyai emosi yang stabil dan sebaliknya, jika ada konflik dalam keluarga, ia juga akan mempengaruhi proses perkembangan anak-anak.

LEAVE A COMMENT

Subscribe Form

Subscribe to Blog