Jan 28 2011

5 Prinsip Disiplin Etika Kerja Guru

1.  Niat Yang Betul

Seseorang guru seharusnya menjalankan tugas dengan niat yang betul sebagaimana yang dituntut oleh agama  serta selari dengan landasan-landasan yang telah digariskan. Ia hendaklah memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan ( FPK ), misi, matlamat dan objektifnya. Seseorang guru seharusnya ikhlas menyempurnakan tanggungjawab terhadap agama dan negaranya. Guru juga hendaklah memberi sumbangan yang bermutu serta sentiasa memperbaharui niat untuk kebaikan bagi memastikan ia seiringan dengan amanah yang diberikan.

2.  Perlakuan yang baik.

Seseorang guru mestilah melakukan tugas dengan sempurna kerana ia merupakan tanggungjawab warga pendidik ke arah  mencapai hasil yang berkualiti di samping memperbaiki imej organisasi. Seorang guru juga mestilah menunjukkan penampilan diri, pertuturan dan perbuatan yang terbaik sepanjang masa. Ia juga seharusnya dapat memberi kepuasan kepada pelanggan malah menghargai dan bertanggungjawab terhadap hasil usaha organisasi tersebut.

3.  Penggerak ke arah kebaikan.

Setiap warga guru hendaklah menjadi penggerak ke arah kebaikan. Justeru itu, setiap guru hendaklah menampilkan diri sebagai seorang yang dinamik, maju berdaya saing dan dapat mendorong seseorang melakukan kebaikan dan kemuliaan. Guru tersebut haruslah berusaha agar hasil kerja dan amalan dapat menonjolkan cirri-ciri kecemerlangan dan ketinggian kualiti yang boleh menjadi sumber inspirasi kepada rakan sejawat. Ia juga seharusnya berusaha menjadi seorang pekerja yang terbaik dan cemerlang.

4.  Memperkotakan apa yang dikata.

Warga pendidikan hendaklah sentiasa berusaha melaksanakan  apa yang dikata. Jesteru itu, ia hendaklah sentiasa menunjukkan ketekalan dalam tanggapan, pengucapan dan tindakan, sama ada terhadap diri sendiri atau orang lain. Kerja seorang guru mestilah sesuai dengan apa yang diucapkannya. Malah perkara yang paling utama ialah menepati apa yang dinyatakan dalam piagam pelanggan.

5.  Berdisiplin dan Beradab

Budaya hidup yang berperaturan, mulia, berdisiplin dan beradab adalah penting kea rah melahirkan warga pendidik yang cemerlang dan terbilang. Oleh itu, guru hendaklah sentiasa menjaga adab sopan seperti yang terdapat dalam ajaran agama. Mereka hendaklah mematuhi peraturan dan arahan-arahan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh kementerian. Seorang guru hendaklah ada satu tatacara kehidupan yang berpandukan prosedur dan kaedah yang sesuai dan betul selari dengan ajaran Agama Islam dan peraturan masyarakat.

LEAVE A COMMENT

Subscribe Form

Subscribe to Blog