Dec 24 2010

7 Punca Salah Laku Disiplin

1.  Pengaruh Keluarga

Keluarga merupakan unit sosial terkecil yang menjadi asas utama perkembangan remaja. Oleh sebab itu keadaan keluarga memainkan peranan penting dalam pertumbuhan keperibadian pelajar. Kualiti kehidupan rumahtangga memberi kesan kepada kualiti tingkah lakunya. Rumahtangga yang aman damai, melahirkan anak remaja yang berperibadi normal yang corak dengan norma-norma masyarakat dan seimbang rohani dan jasmani. Rumahtanggga yang retak, bergelora dan porak peranda akibat daripada konflik, perceraian, kematian ibu bapa atau sebagainya merupakan punca yang meninbulkan remaja bermasalah dan abnormal, iaitu tingkah laku yang tidak diterima oleh masyarakat.

Masalah tingkah laku ini timbul kerana perhatian, kasih sayang dan bimbingan tidak diberi. Keperluan rohani dan jasmani, keinginan dan harapan tidak dipenuhi oleh ibu bapa. Ia menyebabkan para pelajar tadi selalu kebingungan, resah, sedih, malu dan sering diselubungi perasaan kacau, benci dan dendam sehingga mereka menjadi liar. Mereka akan mencari ketenangan dan kepuasan di luar lingkungan keluarga dengan menyertai sesuatu kumpulan. Mereka mulai berbohong dan mencuri untuk menarik perhatian atau melakukan perbuatan sumbang untuk mendapat kepuasan hidup dan melepaskan segala perasaan tegang dalam diri.

Keluarga yang “sakit” ini selalu menimbulkan masalah jiwa, konflik terbuka dan tersembunyi yang menyebabkan anak-anak menderita batin. Kajian yang dibuat oleh pakar-pakar menunjukkan keluarga yang “sakit” ini menghasilkan pelajar bermasalah dua atau tiga kali lebih banyak daripada keluarga yang padu dan akrab. Semakin lama pelajar yang terdedah kepada masalah keluarga ini, maka semakin besar kemungkinan mereka menjadi pelajar yang bermasalah.

Kelemahan ibu bapa dalam keluarga boleh wujud dalam pelbagai bentuk. Misalnya, ibu kurang menyayangi anak-anak dalam erti kata sebenarnaya, kurang mempunyai kesedaran tentang fungsi keibuan dan tidak sanggup memenuhi keperluan anak-anak dari segi rohani dan jasmani. Bapa pula selalu tiada ditengah-tengah keluarga terutama ketika saat genting, selalu gagal memberi pengawasan dan kepimpinan moral kepada keluarga dan sering mendidik dengan disiplin yang tidak konsisten. Pengabaian seperti ini akan melahirkan para pelajar yang penuh dengan konflik jiwa sehingga boleh menyebabkannya menjadi agresif. Tekanan perasaan yang hebat ini membantut perkembangan hubungan kemanusiaan. Akibatnya, muncul gangguan yang boleh menghilangkan kawalan diri sehingga mereka mudah dipengaruhi oleh arus yang tidak sihat.

Ibu bapa yang terlalu banyak melindungi dan memanjakan anak-anak dengan menghindarkan mereka daripada pelbagai kesulitan atau ujian hidup yang kecil, sehingga mereka menjadi rapuh dan tidak dapat berdikari. Mereka selalu bergantung dan akan meminta bantuan daripada orang tua. Apabila berdepan dengan sebarang masalah, mereka terkapai-kapai dan tidak tahu berbuat apa-apa akibatnya jiwa mereka tertekan.

Seorang remaja dalam sebuah keluarga akan cuba memahami dan mengenali siapa dirinya. Mereka cuba membebaskan diri daripada kongkongan ibu bapa dengan mempunyai kuasa sendiri, bebas membuat keputusan sendiri dan menjalani kehidupan dengan caranya sendiri. Remaja akan mengalih pandangan kepada rakan sebaya untuk mendapat kepuasan emosi. Keadaan ini akan menyebabkan krisisi dan konflik antara remaja dengan ibu bapa. Remaja akan cuba melepaskan diri daripada kongkongan, kawalan dan penguasaan, manakala ibu bapa pula merasa berat untuk melepaskan ikatan itu. Dengan ini ramaja dan ibu bapa berbeza pandangan iaitu remaja bersikap berani, idealistik, liberal dan kritikal. Ibu bapa pula bersikap berhati-hati, realistik, konservatif dan berpuashati.

Perbezaan yang menjadi sengketa ini berkait rapat dengan isu-isu kehidupan sosial, tanggungjawab, persekolahan, sikap, hubungan, nilai dan moral. Ibu bapa menginginkan anak-anak yang baik, menurut perintah, rajin, pandai, bersopan santun dan menerima segala cara hidup yang menjadi amalan orang tua. Remaja pula mengharapkan banyak perkara daripada ibu bapa seperti memberi perhatian dan berminat terhadap mereka. Remaja sangat mengharapkan ibu bapa mendengar dan bercakap dengan mereka, memahami keadaan dan masalah mereka disamping mempercayai, menyayangi dan menerima mereka. Remaja juga sangat berharap mendapat kebebasan daripada ibu bapa, mendisiplinkan mereka secara demokratik dan konsisten, menyediakan suasana rumahtangga yang bahagia serta menunjukkan contoh dan teladan yang baik untuk diikuti.

Apabila segala harapan dan keperluan yang diingi oleh pelajar tadi tidak tercapai, maka krisis dan masalah tingkah laku akan muncul. Apatah lagi sekiranya para pelajar dengan ibu bapa mempunyai masalah antara mereka. Para pelajar akan mencari jalan penyelesaiannya sendiri. Dengan ini wujudlah gejala-gejala yang tidak sihat antaranya lari dari rumah, berbohong, menipu, mencuri, bergaul bebas, berfoya-foya dan berpeleseran. Sekiranya permasalahan ini tidak dapat dikawal maka, gejala lebih hebat akan berlaku seperti berzina, melacur, membunuh atau merompak.

2.  Pengaruh Sekolah

Sekolah ditubuhkan untuk mendidik pelajar dengan cara yang tersusun dan teratur. Ia adalah secara formal dengan masa dan kurikulum yang   ditetapkan. Ia diharap dapat berfungsi dengan baik bagi memberi pendidikan secara total, iaitu menyampaikan ilmu, membentuk akhlak dan megembangkan akal. Namun sebagai sebuah organisasi masyarakat, ia mempunyai kelemahan dan kekurangan sama ada dari segi fizikal atau kemanusiaan. Ini menyebabkan ia tidak berupaya memenuhi segala tuntutan dan harapan pelajar.

Bagi sebahagian pelajar, pembelajaran di sekolah amat menjemukan. Waktu berjam-jam setiap hari yang terpaksa dihabiskan dengan duduk dan mendengar secara pasif amat membosankan. Apatah lagi sekiranya pengajaran guru tidak menarik minat pelajar dan guru gagal menyampaikan pengajaran mereka dengan cara yang menyeronokkan para pelajar. Pelajar merasa sangat terikat dan tertekan dengan semua kegiatan yang ditentukan mengikut jadual, buku dan kurikulum.Perkara yang sama berulang setiap hari. Ini seolah-olah pihak sekolah tidak memberi kesempatan kepada pelajar untuk mengembangkan potensi yang ada pada mereka. Pada masa yang sama mereka merasakan seperti dibelenggukan oleh peraturan yang tidak adil dan mengongkong kebebasan, sedangkan naluri mereka ingin lepas bebas.

Pelanggaran disiplin di sekolah-sekolah menengah dan universiti misalnya, menjadi satu wabak bagi anak-anak muda ( remaja ) zaman ini ( Mansur, 1986 ). Mereka sengaja mencabar kekuasaan guru dan pentadbir sekolah dan juga institusi pendidikan. Cabaran-cabaran ini telah mendatangkan banyak masalah kepada pihak pentadbir sekolah dan universiti mahupun maktab. Ia telah mempengaruhi dan mengancam perkembangan pembelajaran yang sihat di kalangan pelajar itu sendiri.

Para pelajar sekolah sengaja mengenepikan peraturan sekolah. Mereka menentang disiplin yang dianggap sebagai kongkongan dengan rasa megah, supaya mereka dianggap sebagai jaguh dan wira dalam bilik darjahnya atau kelompoknya. Keadaan ini menyebabkan para pelajar banyak mengalami konflik batin. Ini membuatkan mereka memberontak apabila dihukum. Akibatnya minat belajar menurun dan mula tertarik pada hal-hal yang tidak berkaitan dengan persekolahan menyebabkan mereka gagal dalam pelajaran. Remaja yang merasa tidak berjaya di sekolah mempunyai alasan yang kuat untuk menjadi putus asa dan takut berdepan dengan masa depan. Berikutan itu mereka melakukan kegiatan salah laku untuk lari daripada keadaan yang menyiksa diri.

Salah laku yang biasa terjadi ekoran daripada keadaan persekolah secara langsung ialah ponteng sekolah, malas belajar, tidak bermotivasi, mengancam, mencuri, memeras ugut, berkelahi dan merosakkan harta benda sekolah. Salah laku yang lebih dibimbangi ialah salah laku berat secara tidak langsung seperti merokok, menyalahgunakan dadah, berzina dan merogol. Ini boleh terjadi apabila pelajar yang tidak berminat kepada sekolah dan pelajaran dipengaruhi oleh keadaan sosial yang ada di sekeliling mereka.

3.  Pengaruh Masyarakat

Pengaruh sosial dan kebudayaan merupakan peranan yang amat besar dalam menentukan tingkah laku para pelajar masa kini.dari satu segi, masyarakat moden menonjolkan prestasi individu dan setiap individu tersebut didorong untuk mendapatkan kekayaan material. Persaingan yang wujud kadang kala mendatangkan kegagalan kepada individu tersebut. Kegagalan ini mendatangkan tekanan batin kepada mereka. Apabila keinginan ini tidak dapat dicapai dengan cara biasa, para pelajar atau individu tersebut akan mencari jalan lain untuk mencapai hajat atau lari daripada kekecewaan mereka. Ini akan mewujudkan salahlaku di kalangan pelajar serta individu yang terbabit. Salahlaku tersebut mempengaruhi sesebuah masyarakat bagi mewujudkan suasana tenteram dan aman.

Dalam masyarakat moden, setiap individu bergerak di tengah-tengah struktur yang berubah-ubah kerana ikatan sosial yang semakin hancur. Pergolakan yang berlaku pada sektor politik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya menyebabkan norma, kawalan dan “hukuman” masyarakat semakin kurang berpengaruh. Ramai individu hilang identiti dan bersikap individualistik masing-masing tidak ingin mengambil tahu hal orang lain. Dengan itu, kawalan sosial menjadi lemah dan longgar, tingkah laku liar remaja semakin meluas. Salahlaku remaja akibat pengaruh masyarakat amat banyak antaranya ialah menganggu keamanan dan gengsterisme. Pelajar merokok serta minumm arak, berzina,   “bohsia”, homoseksual, melacur, menggugurkan dan membuang bayi setta menyalahguanakan dadah.

Banyak lagi salahlaku yang tidak diketahui yang dilakukan oleh remaja dan menjadi rahsia umum mereka. Pengalaman menunjukkan sesuatu kemungkaran remaja terdedah, menjadi perkara sensasi dan berita baru kepada masyarakat, sedangkan ia sudah lama berlaku secara senyap di kalangan pelajar atau remaja. Contoh yang paling ketara ialah kes penyalahgunaan dadah, merokok dan kes hubungan seks bawah umur secara bebas yang sering disiarkan di akhbar-akhbar sekarang.

4.  Pengaruh Perkembangan Sains Dan Teknologi

Pelajar hari ini hidup dalam masyarakat yang mengalami perkembangan sains dan teknologi yang hebat. Kemajuan yang pesat dalam bidang teknologi informasi, telekomunikasi, angkasa lepas dan sebagainya. Ia meninggalkan kesan yang mendalam dan mencetus pula perubahan teknologi yang baru. Ia merupakan pemangkin kepada perubahan sosial masyarakat. Perkembangan teknologi ini menyumbang kepada perubahan terhadap kehidupan fizikal manusia yang merubah pula kehidupan sosial mereka. Setiap individu sibuk dengan hal diri masing-masing sehingga tiada masa untuk berhenti bertanya khabar. Lantaran itu, ikatan kekeluargaan dan kemasyarakatan menjadi longgar, sikap individualistik muncul dan menebal, nafsu kebendaan semakin kuat dan ciri-ciri ketimuran ( adat resam ) kian terhakis.

Para pelajar mengalami tekanan, konflik dan kekacauan jiwa. Kekalutan budaya dengan nilai, sikap dengan gaya hidup yang berubah-ubah menyebabkan pelajar menjadi bingung. Mereka terpaksa cuba mentafsir dan mencari erti hidup sendiri. Masa depan dirasakan terlalu jauh, tidak menentu dan tidak boleh diramalkan. Apabila struktur, fungsi dan norma masyarakat berubah keadaan sukar dijangkakan dengan itu pelajar cuba melupakan masa depan dengan menggunakan peluang yang ada untuk berbuat apa sahaja. Hubungan antara golongan dewasa dengan golongan remaja juga semakin renggang, percanggahan dan pertentangan timbul. Mereka sukar memahami antara satu sama lain dengan tanggapan remaja bahawa pendapat orang dewasa adalah kolot manakala orang dewasa bertanggapan para remaja sebagai tidak matang dan susah untuk diterima.

5.  Pengaruh Media Massa

Media massa juga memainkan peranan besar dalam mempengaruhi pembentukan watak pelajar atau remaja masa kini. Kewujudan radio, televisyen, akhbar, majalah, filem, telefon, papan iklan dan pelbagai jenis media cetak dan elektronik yang memaparkan beraneka bentuk informasi, berita dan mesej. Ini mewujudkan satu masyarakat global tanpa sempadan yang dapat didengar dan dilihat serta merta. Penayangan filem-filem yang berlatarbelakangkan budaya asing ( barat ). adegan ganas dan “panas”, segala jenis hiburan sentiasa dipamerkan dapat mempengaruhi tingkah laku serta meningkatkan salah laku di kalangan pelajar. Gaya hidup mewah dan glamour ditonjolkan.

Penonjolan budaya negatif  yang berleluasa dalam media massa ini mempengaruhi perkembangan remaja di mana mereka terikut-ikut dengan apa yang dilihat dan didengar walaupun apa yang dilihat dan didengar itu bertentangan dengan nilai-nilai agama, adat dan budaya mereka sendiri. Para pelajar kebanyakannya mengikut budaya yang negatif yang akhirnya menimbulkan pelbagai salahlaku yang tidak seiring dengan kehendak masyarakat. Salahlaku tersebut termasuklah berpakaian tidak senonoh, kelakuan kasar dan biadap, tidak menghormati orang tua, bersekedudukan tanpa nikah, melacur dan sebagainya. Keadaan ini menyebabkan kecelaruan tingkah laku di kalangan remaja serta keruntuhan moral dalam masyarakat kian merebak.

6.  Pengaruh Urbanisasi

Penghijrahan ramai penduduk desa, termasuk pelajar ke sesebuah Bandar menyebabkan bandar itu berubah menjadi kota besar. Perubahan fizikal ini dengan sendirinya membawa banyak perubahan kepada kehidupan. Jumlah individu yang ramai menyulitkan hubungan kemanusiaan yang rapat, tiada kemesraan antara jiran, setiap individu merasa keseorangan dan tersisih di tengah-tengah kotaraya yang besar dan sibuk. Kawasan-kawasan miskin didiami oleh penduduk daripada kelas sosio-ekonomi rendah dengan ini wujud budaya kemiskinan, kemunduran mental dan individu yang selalu merasa tegang kerana didorong oleh cita-cita materialistik yang tinggi tetapi tidak mampu untuk dicapainya.

Dalam keadaan demikian, pelbagai masalah sosial muncul. Kawasan yang mundur ekonominya, remaja muncul dengan pelbagai gejala salahlaku akibat daripada pengangguran, kedaifan hidup, ketidakpastian ekonomi dan pengabaian keluarga yang sentiasa sibuk dengan pekerjaan. Para pelajar melakukan perkara sumbang kerana kecewa dengan keadaan hidup yang tidak dapat memenuhi segala keinginan dan kepuasan diri. Manakala remaja mewah pula, melakukan salahlaku akibat daripada kesepian dan banyak memiliki kemudahan dan masa lapang. Ini disebabkan mereka sering ditinggalkan bersendirian oleh ibu bapa yang sibuk dengan urusan masing-masing. Lantaran itu, para pelajar mengambil kesempatan ini untuk berpeleseran atau menyertai kumpulan liar dan melakukan pelbagai salah laku lain.

Demikianlah urbanisasi menimbulkan masalah sosial yang mengubah kehidupan manusia. Para pelajar atau remaja tidak terkecuali dalam mengahadapi perubahan tersebut. Mereka banyak terdedah kepada salah laku seperti penyalahgunaan dadah, zina, lari dari rumah, peras ugut, mencuri dan pelbagai salahlaku.

7.  Pengaruh Kemewahan

Generasi pelajar sekarang hidup dalam zaman kemewahan yang tidak pernah dirasai oleh generasi terdahulu. Ramai pelajar yang dibesarkan dalam keadaan ini dan tidak pernah merasai keperitan hidup dan kesusahan mencari wang seperti yang dialami oleh ibu bapa mereka. Segala keperluan diperolehi. Mereka tidak  perlu memikirkan masa depan. Situasi ini menimbulkan kesan yang kurang menyenangkan kerana ia mewujudkan golongan pelajar yang hidup dengan gaya mewah seperti berpakaian rugged, memiliki kereta atau motosikal, merokok dan sebagainya.

Remaja muncul dengan budaya sendiri yang mementingkan status dan prestij. Mereka bersaing untuk mendapatkan kedudukan dalam kumpulan.Oleh sebab itu, ia lebih mengutamakan hasil, manakala kebolehan dan keupayaan seseorang individu tidak diambil kira. Dalam keadaan demikian para pelajar akan berbuat apa sahaja untuk menempa nama sehingga sanggup menipu atau menjual maruah. Pelajar daripada keluarga kurang mewah akan merasa terabai dan tersisih. Lantas, untuk mendapatkan perhatian mereka melakukan perbuatan antisosial. Mereka cuba mewujudkan identiti tertentu lantaran ditolak oleh kumpulan sendiri. Ia menjadi masalah kepada sekolah dan masyarakat.

Kemewahan hidup menimbulkan peluang untuk pelajar atau remaja berseronok dan bersenag-senang. Mereka tidak payah memikirkan masa depan untuk belajar ataupun mencari pekerjaan untuk masa depan. Ini bermakna mereka mempunyai masa untuk berpeleseran, berfoya-foya dan seumpamanya. Ekoran dari itu wujudlah salahlaku seperti lepak, perlumbaan kereta dan motosikal haram, “bohsia” dan lain-lain.

1 Comments on this post

Trackbacks

  1. mrsaadah97 said:

    boleh lha jgak bwat rujukan

    July 11th, 2011 at 11:03 pm

LEAVE A COMMENT

Subscribe Form

Subscribe to Blog