Feb 1 2009

Disiplin Dalam Kerja

Pekerjaan adalah satu keperluan yang teramat penting kepada manusia. Kehidupan kita bergantung kepada kerja. Ini kerana ia merupakan sumber ekonomi untuk keperluan. Pekerjaan juga boleh mengangkat status dan pengiktirafan seseorang individu dalam masyarakatnya. Selain itu, pekerjaan juga meletakkan nilai dan harga diri seseorang.

Agama amat menggalakkan setiap penganutnya bekerja dan tidak meminta-minta. Ia merupakan tuntutan yang perlu dilaksanakan dengan jujur dan amanah. Dengan pekerjaan inilah kita dapat memberi nafkah untuk diri dan keluarga di samping membangun ekonomi bangsa serta negara.

Lazimnya, kebanyakan mereka yang berjaya adalah orang yang berdisiplin dalam kerja. Dengan memiliki disiplin membolehkan seseorang itu menjadi pekerja yang berkreativiti dan berkualiti. Untuk menjadi pekerja yang berkreativiti dan berkualiti ini memerlukan banyak kemahiran dan pengalaman. Ia hanya diperoleh dengan adanya DISIPLIN.

Saya ingin kongsikan 5 tip secara ringkas untuk menjadi pekerja yang disiplin. Saya menggunakan perkataan KERJA tersebut sebagai pecahan kepada 5 tip untuk disiplin dalam kerja:-

K – Kerjaya

Mengapa kita memilih perkerjaan tersebut?… Jawapan ada dalam diri kita masing-masing. Jawapan itulah yang akan menentukan hala tuju kita dalam kerja kita. Kita perlu insaf bahawa masih ramai yang tidak mempunyai pekerjaan. jadikan kerja kita sebagai kerjaya. Ini bermakna kerja itu sebagai anugerah rezeki yang dikurniakan kepada kita yang perlu dijaga. Apabila kita sedar bahawa kerja ini adalah sumber rezeki berbanding mereka yang menganggur. Maka, semestinya kita menghargai kerjaya kita. Dengan ini, kita ada matlamat yang jelas dalam kerja kita. Untuk mencapai matlamat tadi kita perlu ada DISIPLIN .

E - Empati

Empati di sini bermakna kita merasai, menjiwai dan sedar akan kerja yang kita lakukan. Ada sebahagian pekerja bekerja hanya mengikut keadaan dan terpaksa. Ini menyebabkan wujud sikap negatif dan rasa tertekan terhadap pekerjaan yang dilakukan. Dengan ini, motivasi terhadap kerja akan berkurangan. Sikap empati pula akan memberi kekuatan dalaman kepada kita. Apabila kita menghayati dan menjiwai bahawa kerja itu sebagai satu ibadah dan jihad kehidupan. Maka, kita akan bekerja dalam keadaan terancang serta sayang kepada pekerjaan tersebut. DISIPLIN terhadap kerja kita akan meningkat.

R - Rasional dan rajin

Kita perlu sedar kenapa kita memilih sesuatu pekerjaan tersebut. Ia akan memudahkan kita membuat keputusan dan penilaian yang betul. Rasional di sini bermakna kita memilih pekerjaan tersebut berpandukan minat, kelayakan dan kebolehan kita. Sebahagian pekerja hanya bekerja kerana ingin mendapatkan wang (gaji) semata-mata. Ini akan wujud sikap menjalankan kerja sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh. Apabila kita sedar rasional kita memilih pekerjaan tersebut maka, penumpuan dan minat terhadap kerja tadi akan lahir. Dengan ini, kita akan rajin bekerja untuk mendapat kepuasan dalam pekerjaan tadi. DISIPLIN kerja kita juga akan meningkat.

J – Jujur

Sikap jujur terhadap kerja amat penting bagi meningkatkan kualiti serta peribadi diri. Saban hari kita didedahkan dengan berita pekerja pecah amanah…ponteng kerja…rasuah… ini kerana kesedaran terhadap tanggungjawab bekerja tidak ada dalam diri individu tersebut. Kejujuranlah yang akan membentuk keperibadian individu tersebut dalam masyarakatnya. Masyarakat akan menilai dan meletakkan penghargaan yang tinggi kepada pekerja yang jujur. Untuk menjadi seorang yang jujur, ia memerlukan DISIPLIN yang tinggi.

A - Amal dengan penuh amanah

Amalkan sikap ceria melalui senyuman, menyeronokkan dan bertolak ansur dalam melaksanakan kerja. Ia akan membantu penampilan diri kita. Kerja yang diamanahkan perlu dilaksanakan dengan rasa tanggungjawab yang tinggi. Dengan ini, perkara negatif dapat dihindari dari diri kita. Amalkan (lakukan) kerja tadi dengan ilmu, kepakaran, kebolehan serta minat kita. Ia akan mewujudkan keyakinan diri untuk kita laksanakan tugas. Segala ilmu pekerjaan yang dimiliki perlu kita amalkan untuk mempertingkatkan produktiviti dan kualiti kerja kita. Maka akan wujudlah DISIPLIN dalam kerja.

Kesimpulannya, pekerjaan merupakan satu jaminan masa depan. Tidak kira apa pun jawatannya, ia tetap memerlukan sumber ekonomi (wang).  Orang yang tidak mempunyai pekerjaan sering dipandang hina oleh masyarakat. Orang yang bekerja perlu membina kerjayanya supaya sentiasa maju dan berjaya. Oleh itu, untuk berjaya dalam kerjaya, ia memerlukan DISIPLIN dalam kerja.

Ini merupakan pandangan penulis. Pembaca budiman diminta menyatakan pendapat, komen dan teguran jika tersasar daripada matlamat.

Sekian, terima kasih.

Bazri Alias

LEAVE A COMMENT

Subscribe Form

Subscribe to Blog