Jan 26 2010

Disiplin Dalam Memberi Kasih Sayang

KASIH sayang memang memainkan peranan yang sangat penting dalam kelangsungan kehidupan harian kita. Tanpa kasih sayang hidup kita mungkin tidak akan bahagia dan aman. Perasaan kasih sayang menerbitkan perasaan hormat dan saling menghayati antara satu sama lain. Menurut Thesaurus kasih dan sayang itu mempunyai banyak sinonim, antaranya ialah cinta, sayang, bersahabat, cinta-mencintai, buah hati, menyayangi, menghormati, dan saling mempercayai.

Pembentukan akhlak remaja itu tidak dapat disangsikan lagi adalah bermula dari rumah. Apabila kita menyebut rumah maka orang paling bertanggungjawab ke atas mereka ialah ibu bapa, kerana merekalah yang mencorak dan membentuk akhlak anak-anak mereka. Merekalah yang akan memberikan pendidikan dan kasih sayang kepada anak-anak mereka.

Kasih sayang tidak disangkal menjadi ubat kepada segala penyakit. Dengan kasih sayang penghidupan akan menjadi rukun dan damai serta bahagia. Jadi kasih sayang bagaimanakah yang dikehendaki oleh anak-anak dari ibu bapa mereka.

Mereka sebenarnya tidak memerlukan curahan kasih sayang yang dipenuhi dengan kemanjaan dan taburan wang ringgit untuk memenuhi kehendak mereka. Apa yang mereka perlukan ialah kasih sayang dan perhatian serta komitmen ibu bapa. Kasih sayang yang sering diharapkan oleh anak-anak ialah ibu bapa mereka sering memberikan perhatian kepada proses tumbesaran mereka.

Sekurang-kurangnya dengan meluangkan sedikit masa untuk duduk dan bersembang bersama anak-anak adalah satu curahan kasih sayang yang lebih baik dan tinggi manfaatnya. Dengan yang demikian mereka akan terasa sentiasa diambil perhatian dan sentiasa mendapat tempat di hati ibu bapa mereka. Bahagikanlah masa ibu bapa dengan wajar dan seimbang dengan anak-anak yang lain.

Sebagai ibu bapa, kita harus menghargai usaha anak-anak dan memberikan mereka motivasi yang tinggi untuk terus berusaha dan bukannya membandingkan anak-anak dengan anak-anak orang lain yang lebih pintar. Tingkah laku ini adalah satu perkara yang kurang wajar untuk dilakukan oleh ibu bapa. Hal demikian kerana mereka akan merasa diperkecilkan tanpa dihargai. Ibu bapa hendaklah berikan anak-anak peluang untuk menunjukkan kemampuan mereka dengan memberikan kata nasihat yang boleh menyuntik semangat mereka.

Demikianlah perihal mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak remaja kita, agar dengan berbuat demikian mereka akan dapat mencontohi apa yang telah kita lakukan untuk mereka dan membesar menjadi orang yang lebih bertanggungjawab dan dapat dijadikan tempat ‘berteduh’ di kala hujan dan panas.

http://www.pustakatimur.com

http://www.pustakabazri.com

http://www.ebookpustaka.com

LEAVE A COMMENT

Subscribe Form

Subscribe to Blog