Jan 26 2010

Disiplin Dalam Memberi Kasih Sayang

KASIH sayang memang memainkan peranan yang sangat penting dalam kelangsungan kehidupan harian kita. Tanpa kasih sayang hidup kita mungkin tidak akan bahagia dan aman. Perasaan kasih sayang menerbitkan perasaan hormat dan saling menghayati antara satu sama lain. Menurut Thesaurus kasih dan sayang itu mempunyai banyak sinonim, antaranya ialah cinta, sayang, bersahabat, cinta-mencintai, buah hati, menyayangi, menghormati, dan saling mempercayai.

Pembentukan akhlak remaja itu tidak dapat disangsikan lagi adalah bermula dari rumah. Apabila kita menyebut rumah maka orang paling bertanggungjawab ke atas mereka ialah ibu bapa, kerana merekalah yang mencorak dan membentuk akhlak anak-anak mereka. Merekalah yang akan memberikan pendidikan dan kasih sayang kepada anak-anak mereka.

Kasih sayang tidak disangkal menjadi ubat kepada segala penyakit. Dengan kasih sayang penghidupan akan menjadi rukun dan damai serta bahagia. Jadi kasih sayang bagaimanakah yang dikehendaki oleh anak-anak dari ibu bapa mereka.

Mereka sebenarnya tidak memerlukan curahan kasih sayang yang dipenuhi dengan kemanjaan dan taburan wang ringgit untuk memenuhi kehendak mereka. Apa yang mereka perlukan ialah kasih sayang dan perhatian serta komitmen ibu bapa. Kasih sayang yang sering diharapkan oleh anak-anak ialah ibu bapa mereka sering memberikan perhatian kepada proses tumbesaran mereka.

Sekurang-kurangnya dengan meluangkan sedikit masa untuk duduk dan bersembang bersama anak-anak adalah satu curahan kasih sayang yang lebih baik dan tinggi manfaatnya. Dengan yang demikian mereka akan terasa sentiasa diambil perhatian dan sentiasa mendapat tempat di hati ibu bapa mereka. Bahagikanlah masa ibu bapa dengan wajar dan seimbang dengan anak-anak yang lain.

Sebagai ibu bapa, kita harus menghargai usaha anak-anak dan memberikan mereka motivasi yang tinggi untuk terus berusaha dan bukannya membandingkan anak-anak dengan anak-anak orang lain yang lebih pintar. Tingkah laku ini adalah satu perkara yang kurang wajar untuk dilakukan oleh ibu bapa. Hal demikian kerana mereka akan merasa diperkecilkan tanpa dihargai. Ibu bapa hendaklah berikan anak-anak peluang untuk menunjukkan kemampuan mereka dengan memberikan kata nasihat yang boleh menyuntik semangat mereka.

Demikianlah perihal mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak remaja kita, agar dengan berbuat demikian mereka akan dapat mencontohi apa yang telah kita lakukan untuk mereka dan membesar menjadi orang yang lebih bertanggungjawab dan dapat dijadikan tempat ‘berteduh’ di kala hujan dan panas.

http://www.pustakatimur.com

http://www.pustakabazri.com

http://www.ebookpustaka.com

Jan 23 2010

Kasih Sayang Dan Perhatian Untuk Disiplin Anak

Dunia penuh global ini menyebabkan perubahan dalam gaya hidup penghuninya. Ramai yang telah menggantikan kasih sayang dengan harta benda dan kemewahan. Pada anggapan mereka kemewahan dan kesenanagan itu akan membawa kebahagiaan kepada anggota keluarga. Malahan ada sebahagiaan menganggap kehadiran ibu bapa di dalam kehidupan akan menganggu privacy dan juga sebaliknya.

Kasih sayang ialah cinta kasih manakala perhatian ialah tumpuan yang diberikan, begitulah maksud menurut Kamus Dewan. Apakah cukup dengan definisi ini? Tidak sama sekali. Ibu bapa perlu berikan kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak lebih daripada itu. Keperluan material, jasmani, rohani, masa serta kehadiran ibu bapa di dalam kehidupan anak-anak seharian amat diperlukan.

Cuba kita renung kembali sewaktu anak-anak masih kecil dulu. Ia diberi perhatian, dicium dipeluk, dan dibelai setiap hari. Segalanya dilakukan bersama anak-anak. Tetapi bila mereka meningkat dewasa segalanya umpama mimpi sahaja. Kononnya anak-anak merasa malu untuk dimanja-manja. Apakah anak-anak tidak mahu dimanja?

Adakah itu sahaja cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa sebagai tanda kasih dan sayangkan anak-anak? Tidak. Pelbagai cara yang boleh ibu bapa rangka dan buat untuk kebahagiaan keluarga. Mari kita sama-sama renung untuk memperbaiki hubungan antara kita dengan anak-anak.

1. Berapa Banyak Masa Untuk Bersama Anak-anak

Masa sering menjadi penyebab berlakunya ruang antara ibu bapa dengan anak-anak. Memang tidak dapat dinafikan, dunia kini memaksa ibu bapa mengejar kerjaya masing-masing untuk menampung keperluan hidup. Kita sering kesuntukan masa untuk bersama anak-anak. Sebelum anak bangun kita telah ke pejabat dan pulang adakalanya mereka sudah nyenyak. Hanya hujung minggu sahaja dapat bersama anak-anak, itu pun kalau tiada tugasan luar atau kerja sambilan.

Bimbingan yang diterima sepeninggalan kita adalah dari nenek, orang gaji ataupun pengasuh. Apakah ia mencukupi? Anak-anak mungkin lebih mesra dengan orang gaji. Cuba kita fikirkan. Apakah anak-anak ini boleh menerima teguran daripada orang yang hanya mereka kenali pada hujung minggu sahaja? Terpulang kepada anda untuk menjawabnya.

2. Lebih Masa Bersama Atau Material

Ibu bapa sering memberi segala yang termampu kepada anak-anak demi kebahagiaan mereka. Kelengkapan keperluan anak-anak selalu dipenuhi tanpa banyak persoalan. Apa yang anak-anak minta akan dipenuhi dengan kemampuan yang ada. Contohnya, wang, komputer, barang mainan, pakaian dan seumpamanya. Semua disediakan dengan baik. Tetapi kenapa kadang-kadang mereka tidak mahu mendengar nasihat serta teguran? Sering melawan, degil, liar serta tidak mempedulikan perasaan ibu bapa.

Seringkali kita tertanya-tanya, apa lagi kekurangan dan keperluan yang belum dipenuhi. Sedangkan setiap permintaan dan kelengkapan itu sudah kita sediakan. Jawapannya ialah mereka memerlukan ibu bapa bersama dalam hidup mereka.

3. Lebih Manja Atau Kekurangan

Sukar untuk kita menentukan sukatan sebenar dalam memberi kasih sayang dan perhatian terhadap anak-anak. Andai ia terlalu dimanjakan maka, mereka akan bertindak tanpa matang dan sering bergantung kepada kita. Anak-anak susah untuk berdikari dan selalu inginkan perhatian. Jika perhatian tidak diberi, mereka akan mengambil tindakan yang kadang kala boleh memudaratkan untuk memperoleh perhatian ibu bapa semata-mata.

Sekiranya perhatian dan kasih sayang yang diberi itu tidak seperti diharapkan, mereka menjadi liar dan sukar dikawal. Sering kali kita dengar anak-anak lari dari rumah untuk mencari dan mendapat perhatian serta kasih sayang daripada orang luar. Oleh itu, jalan pertengahan merupakan jalan terbaik dalam memberi kasih sayang dan perhatian pada anak-anak. Terpulang kapada anda… anak anda adalah diri anda.

4. Lebih Kehadiran Ibu Bapa Atau Penjaga

Kita sering berpendapat jika ada orang yang menjaga anak-anak, mereka akan merasa selamat, terjaga dan dalam perhatian. Pengasuh merupakan tempat perantaraan atau sebagai ibu bapa kedua anak-anak. Maka segala keperluan dan masa diatur oleh pengasuh atas arahan ibu bapa sebagai majikan. Apabila anak sakit dan ditinggalkan kepada pengasuh. Maka anak-anak ini lebih menghargai perhatian pengasuh daripada ibu bapa.

Oleh sebab itu, sering kali kita mendengar rungutan daripada ibu bapa tentang anak-anak yang tidak mengendahkan teguran mereka. Anak-anak lebih mendengar teguran pengasuh yang lebih membela dan membesarkan mereka setiap hari. Siapakah yang bersalah dalam soal ini? Cuba kita fikirkan bersama.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama salin memperingati bahawa anak-anak yang dianugerahkan itu bukan sahaja perlu dijaga lahiriah sahaja tetapi segala-galanya. Kebahagian dan keperluan hidup mereka adalah satu tugas yang amat penting dan perlu dilaksanakan sebaik-baiknya. Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh ibu bapa sendiri. Jika ia diberikan kepada orang lain, maka rugilah kita kerana akan kehilangan permata yang tak ternilai harganya.

Ikhlas,

Bazri Alias

http://www.pustakabazri.com

http://www.pustakatimur.com

http://www.ebookpustaka.com

Jan 20 2010

Disiplin Ada Dalam Diri Kita

Setiap ibu bapa inginkan anak yang dikatakan “pintar”, “cerdik”, “pandai” dan seumpamanya. Semuanya menjurus ka arah pembentukan sahsiah dan tingkah laku sempurna. Ibu bapa juga ingin menerap unsur kesucian, kebaikan dan kemuliaan dalam setiap minda anak cemerlang ini. Ini penting kerana anak yang cemerlang seharusnya mempunyai akhlak yang terbaik iaitu mulia dan beradab.

Sebenarnya mencemerlangkan anak dan juga diri adalah pembentukan disiplin. Ia ada dalam diri kita. Pembentukan disiplin ini lebih mudah daripada memuliakan keperibadiannya. Maksudnya, disiplin lebih mudah dibentuk daripada memperbaiki disiplin…. makin kelirukan? Dengan kata lain ialah mengawal itu lebih baik daripada merawat. Ini bermakna, pembentukan disiplin itu perlu dibentuk sejak dari awal lagi agar anak-anak membina “kebiasaan”. Apabila sudah menjadi “kebiasaan” tadi maka kemuliaan dan kecemerlangan yang diharapkan mudah termakbul. Jika anak dibiasakan dengan kehidupan yang baik, suci dan mulia (berdisiplin), dia akan membina “kebiasaan” itu. Dia akan mudah memilih jalan yang baik dan memahami mengapa kebaikan itu penting.

Jika anak tadi tidak dibiasakan dengan disiplin. Maka sukar untuk mereka memahami pentingnya hidup berdisiplin. Ini membawa mereka kepada pembentukan akhlak yang negatif serta membahayakan diri mereka. Dia mudah terjerumus ke arah keangkuhan, senang bergaduh dan mudah mencari kesalahan orang lain. Ini adalah kerana kehilangan ketertiban (disiplin) dalam diri mereka. Mereka tidak “dibiasakan” dengan disiplin sejak awal lagi.

Anak yang cerdik hilang nilainya jika ia seorang yang kurang adab, sombong, sering mementingkan diri, cepat hilang sabar dan suka bergaduh. Anak yang cerdik tetapi tiada ketertiban (disiplin) membawa kesan yang sangat bahaya. Ia boleh memudaratkan agama, keluarga, masyarakat malah negara. Mereka ini akan membawa segala macam masalah dalam bidang yang diceburi. Masalah seperti rasuah, pecah amanah, jenayah kolar putih, ponteng kerja dan tidak bertanggungjawab merupakan sebahagian daripada perlakuan hilangnya disiplin.

Ibu bapa seharusnya berusaha memastikan agar intelek anak dibentuk dengan asas disiplin atau akhlak yang mulia. Akhlak ini hendaklah dibentuk dengan landasan agama atau panduan-panduan yang telah diaturcarakan oleh Tuhan Yang Maha Pencipta. Doa ibu bapalah sebagai senjata paling ampuh bagi membina intelek anak cemerlang .

Oleh itu, menjadi cerdik, cemerlang dan berjaya adalah mudah. Marilah sama-sama berusaha agar anak-anak kita benar-benar menjadi orang yang berkemampuan tinggi dalam ilmu. Ilmu inilah yang akan membantu meningkatkan martabat diri, agama, keluarga dan masyarakat. Lihatlah mereka yang berilmu dan berjaya di sekeliling kita. Kita perlu sedar bahawa kecerdikan tidak ada nilainya selain dari memastikan anak yang cerdik itu juga anak yang baik, anak yang cerdik itu juga anak yang beradab (disiplin), anak yang cerdik itu juga anak yang suka kepada kebajikan, anak yang cerdik itu juga sentiasa menjaga kita, taat, menyenangkan dan menjadi penawar serta kesyukuran kita. Jika anda ingin memahami lebih lanjut tentang disiplin… sila layari http://www.pustakatimur.com

Ikhlas dari,

Bazri Alias

www.pustakatimur.com

www.ebookpustaka.com

www.pustakabazri.com

Oct 30 2009

Mengajar Anak Agar Memiliki Disiplin

Membentuk batasan-batasan untuk seorang anak agar memiliki disiplin diri sangatlah penting agar anak dapat memiliki perilaku yang positif dan normal. Jika ibu bapa memberi petunjuk secara benar, maka anak-anak cenderung untuk mengikuti kerana pada dasarnya mereka ingin menyenangkan ibu bapanya. Bilamana ibu bapa mulai membentuk batasan-batasan yang diperlukan untuk mencipta disiplin pada perilaku anak,, ramai di antara ibu bapa yang tidak mampu atau tidak tahu bagaimana caranya. Kadang-kala ibu bapa terlalu banyak bercakap (membebel), terlalu emosional atau gagal untuk mengekspresikan dirinya sendiri secara jelas dan penuh otoriti. Bila kita harus mengatakan kepada anak apa yang harus dilakukannya dan ia harus melakukannya sekarang juga (misalnya, kemaskan tempat tidurmu).

Gunakan sepuluh tips di bawah ini agar ibu bapa lebih mudah membentuk batasan-batasan itu :-

1. Lebih spesifik. Berapa kali ibu bapa mendengar dirinya sendiri atau orang lain memberikan batasan-batasan seperti, “Jaga kelakuanmu”, “Jadi anak baik ya”, “Jangan bising” dan lainnya. Arahan seperti itu mungkin berbeza pengertiannya bagi orang lain. Anak-anak akan mengerti orang tuanya dengan lebih baik jika ibu bapa membuat petunjuk secara konkrit. Sebuah batasan yang spesifik mengatakan secara jelas apa yang harus dilakukan oleh seorang anak. Misalnya, “Jangan bercakap kuat di rumah sakit”, “Pegang tangan Ibu kalau menyeberang jalan”, dan sebagainya. Strategi ini dapat membuat anak lebih menurut.

2. Tawarkan pilihan-pilihan. Dalam banyak hal, ibu bapa memberikan anaknya pilihan terbatas agar anak menuakan kemahuan orang tuanya. Memiliki kebebasan dalam membuat pilihan, maka anak merasakan suatu perasaan kekuatan diri yang akan mengurangkan penolakan dari anak. Misalnya, ibu bapa dapat menawarkan pilihan kepada anaknya ingin mandi dengan berendam di tub bath atau disiram dengan gayung.

3. Lebih tegas. Dalam banyak hal penting di mana ada kecendrungan anak untuk menunjukkan keingkarannyaK ibu bapa harus menunjukkan batasan secara tegas. Satu batasan yang tegas akan mengajar seorang anak bila dia harus menghentikan perilaku yang tidak dikehendaki dan menurut ibu bapanya. Misalnya, “Jangan melempar-lempar mainanmu seperti itu!”. Batasan tegas seperti ini paling baik jika ditunjukkan dengan suara orang tua yang terdengar tegas seperti askar dan mimik muka yang serius. Batasan yang lunak atau tidak tegas akan membuat anak mempunyai pilihan, menurut atau membangkang. Contoh dari batasan yang tidak tegas seperti ini, “Kenapa kamu tidak menyimpan mainanmu sekarang juga?”. Batasan-batasan yang kurang atau tidak tegas seperti ini layak dilakukan jika ibu bapa ingin anaknya berlakon dalam cara tertentu.

4. Penekanan pada hal-hal positif. Anak-anak lebih menerima kepada perintah “kerjakan / lakukan” daripada “jangan lakukan / kerjakan”. Petunjuk “jangan” atau “hentikan” mengajarkan anak apa yang tidak dapat diterima. Ibu bapa jangan menjelaskan perilaku yang anda inginkan (misalnya , “Ibu ingin kamu diam!”). Lebih baik katakan kepada anak apa yang seharusnya dilakukan (misalnya, “bercakap pelan-pelan”) dari pada melarangnya (misalnya, “jangan teriak-teriak!”). Ibu bapa yang autokratik lebih sering mengatakan kata “tidak, jangan” kepada anaknya. Sedangkan ibu bapa yang suka memerintah lebih sering mengatakan kata perintah “kerjakan, lakukan!”.

5. Hindari perkataan, “Aku ingin…” bagi ibu bapa. Kalau ibu bapa menyuruh anaknya pergi tidur dengan mengatakan, “Ibu / Ayah ingin kamu pergi ke tempat tidur sekarang!”, ini dapat menciptakan konflik antara ibu bapa dan anaknya. Strategi yang lebih baik adalah langsung menekankan peraturan secara impersonal. Misalnya, orang tua dapat mengatakan, “Sekarang sudah pukul 8 malam sayang. Waktu kamu untuk tidur.” Dalam cara ini, setiap konflik atau perasaan marah yang terjadi pada diri anak hanya akan terjadi antara anak dengan” jam”nya bukan dengan orang tuanya.

6. Jelaskan mengapa batasan-batasan itu diperlukan. Bilamana seseorang mengerti kebenaran akan sesuatu peraturan, mereka akan cenderung untuk mematuhinya daripada membangkangnya karena timbul suatu kesedaran. Misalnya, bila Ibu bapa pertama kali memberi sebuah batasan, jelaskan mengapa anak harus menurutinya. Mengerti alasan-alasan dari peraturan itu akan menolong anak mengembangkan standart internal dari perilaku sedar dirinya. Daripada memberikan penjelasan panjang lebar, lebih baik tekankan alasannya secara tegas, cepat dan ringkas. Misalnya, “Jangan pukul orang ya, itu sakit”. Atau, “Jangan merampas mainan anak lain ya, mereka pasti sedih kehilangan mainannya”.

7. Memberikan alternatif. Bilamana ibu bapa melarang atau memberikan batasan yang diperlukan atas perilaku anak , cuba untuk memberikan pilihan alternatif yang dapat diterima olehnya. Dengan begitu ibu bapa tidak akan dilihat begitu “negatif” atau “jahat” dan anak akan merasa tidak tercabar hak-haknya. Misalnya, ketika anak anda bermain-main dengan gincu milik ibunya. Ibunya dapat mengatakan, “Ibu tahu kamu menginginkan gincu ibu. Tapi ini untuk bibir, bukan untuk mainan. Kalau kamu mahu melukis, ini warna dan kertas untuk kamu”. Dengan menawarkan alternatif, ibu bapa mengajar anaknya bahawa perasaan dan keinginannya diterima oleh orang tuanya tetapi tindakan yang dilakukan sebelumnya tidaklah benar. Ibu bapa yang memiliki alternatif yang tetap membuat anaknya akan gembira..

8. Tetap serius dalam konsistensi. Aturan utama dalam menerapkan batasan-batasan yang efektif adalah dengan menghindari peraturan yang tidak konsisten. Misalnya, hari ini anak disuruh tidur pukul 8 tetapi esoknya pukul 9. Hal ini dapat mengundang ketidakpatuhan dan hampir tidak mungkin untuk mendisiplinkan anak. Aturan-aturan dan rutin yang telah ditetapkan dalam sebuah keluarga harus terus diterapkan meskipun Ibu bapa dalam keadaan letih pulang dari bekerja. Jika tidak, maka anak dapat menganggap orang tuanya hanya main-main dalam menetapkan peraturan itu.

9. Tunjukkan kemarahan itu terhadap perilaku si anak, bukan anaknya. Betapa seriusnya kelakuan buruk si anak, ibu bapa harus menjelaskan kepada anaknya bahawa yang tidak disenangi oleh anda adalah perilaku buruknya dan bukan dirinya. Bukan pula ibu bapa menolak mereka. Jadi daripada berkata, “Dasar, anak nakal!” (menunjukkan bahwa ibu bapa menolak anaknya), sebaiknya ibu bapa berkata, “Jangan panjat meja ya!”.

10. Kawal emosi ibu bapa. Penelitian menunjukkan bahawa bila Ibu bapa sedang sangat marah mereka cenderung untuk menghukum secara berlebihan dan cenderung untuk secara fizikal mahupun verbal terhadap anaknya. Lebih baik, jika emosi melanda jiwa ibu bapa, tarik nafaslah, ucapkan Astagfirallah daripada memukul anak. Disiplin dasarnya adalah mengajarkan anak bagaimana seharusnya berperilaku yang sebenar. Ibu bapa tidak dapat mengajarkan anaknya disiplin secara efektif jika sedang dilanda emosi. Semua anak-anak memerlukan anda untuk membangun aturan-aturan bagi perilaku yang diterima dan benar. Jika ibu bapa lebih mampu untuk menerapkan batasan-batasan ini maka, anak akan lebih koperatif dan mahu menurut. Hal ini akhirnya dapat menciptakan suasana yang sehat di dalam keluarga.

Sep 10 2009

Hidup Pun Susah Mati Pun Lagi Susah

Ulama Membisu Urus Jenazah Dikomersialkan

SUDAH lama saya ingin timbulkan mengenai isu pengurusan jenazah orang Islam. Saya melihat pengurusan jenazah Islam kini lebih bersifat komersial dan sesuatu perlu difikirkan oleh semua pihak terutama pihak berkuasa, sama ada kaedah dilaksanakan kini mengikut lunas ditetapkan Islam.

Kematian seorang kawan di Terengganu membuatkan saya ingin menimbulkan masalah ini. Jenazah rakan saya disembahyangkan sekumpulan jemaah dengan bayaran RM250.

Begitu juga di Melaka, ada kumpulan tertentu, dengan pengetahuan Majlis Agama Islam Melaka mengenakan bayaran untuk mandikan dan kafan jenazah saja. Kalau jenazah pesakit HIV dikenakan RM480, kalau jenazah biasa RM380.

Isu yang saya ingin bangkitkan ialah adakah dibolehkan dalam Islam, bayaran tetap dibuat kepada kerja fardu kifayah membabitkan mandi, kafan dan sembahyang jenazah. Mengapa kita perlu bebankan keluarga si mati dengan masalah kewangan? Bukankah haram bagi kita makan dan minum sekali pun di rumah keluarga si mati. Apatah lagi untuk mengambil wang ringgit daripada mereka? Mengapakah gejala ini berlaku? Seolah-olah setiap kematian orang Islam hendak dijadikan satu perniagaan dan industri seperti mana kematian dalam agama lain.

Nampak gayanya dalam 10 tahun akan datang, kalau kita tidak mempunyai duit banyak maka tidak boleh kita mati. Kalau mati, bermakna tidak dikapan atau dikebumikan. Juga mungkin tiada lagi orang nak sembahyang mayat kerana semuanya perlu ada duit. Setahu saya Islam hanya mengharuskan upah diterima dari kematian orang Islam dalam hal menggali kubur saja. Lain-lain bayaran diharamkan kerana menjadi kewajipan orang yang hidup untuk menyempurnakan jenazah. Bukan membebankan keluarga si mati.

Atas apa pun alasan berkaitan pengurusan jenazah ini, sesen wang pun tidak boleh diambil daripada keluarga si mati atau berkaitan dengan kematian orang Islam. Ia fardu kifayah dan kewajipan yang hidup bagi menyempurnakannya. Kematian bukan perniagaan. Tugas kariah untuk menguruskan jenazah ini. Bukan dibebankan kepada si mati dan keluarganya.

Persoalannya, mengapa ulama masih membisu dan sesetengahnya membenarkan ia berlaku dan sebahagian lain yang mahir ilmu agama terbabit dalam urusan ini? Jangan jadikan alasan sedekah, pemberian sagu hati dan sebagainya bagi menghalalkan kegiatan ini.

ARIS @ ARIF OMAR,
Melaka

Petikan Berita Harian

10/09/2009

Sep 5 2009

ROTAN KAEDAH TERBAIK TANGANI DISIPLIN PELAJAR

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my

CADANGAN Kementerian Pelajaran melaksanakan semula hukuman rotan yang dihentikan pada 2006 dengan menggantikan kaedah kaunseling perlu dilakukan secara berhemah, termasuk berbincang dengan ibu bapa. Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia, Azam Mat Atan, berkata pelaksanaan semula hukuman itu selepas sesi kaunseling gagal dilihat paling berkesan bagi mendisiplinkan pelajar terutama peringkat menengah.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaannya perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk terlebih dulu memberi amaran pertama, kedua dan ketiga kepada pelajar terbabit sebelum memanggil ibu bapa.

“Kami di sekolah hanya akan melaksanakan hukuman rotan jika keadaan semakin kritikal dan disiplin pelajar membimbangkan. “Setiap hukuman dilaksanakan mereka berkelayakan. Ia dilakukan guru disiplin dengan disaksikan ahli jawatankuasa disiplin sekolah. Setiap hukuman akan direkodkan,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau mengulas laporan akhbar ini baru-baru ini yang memetik Kementerian Pelajaran mengemukakan cadangan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengembalikan semula hukuman rotan sebagai tindakan akhir selepas sesi kaunseling gagal memulihkan disiplin pelajar.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pemuafakatan Persatuan Persatuan Guru Malaysia, Jemale Paiman, berkata pihaknya yakin hukuman dilaksanakan sejak sekian lama itu kaedah terbaik menangani masalah disiplin pelajar.

“Saya yakin ibu bapa bersedia bekerjasama jika mereka dipanggil berbincang mengenai masalah disiplin anak mereka. “Perbincangan dua pihak ini penting supaya menemui jalan penyelesaian terbaik, seterusnya sekolah tidak perlu melaksanakan hukuman rotan,” katanya.

Sambil menjelaskan pihaknya sudah memaklumkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru mengenai cadangan kementerian itu, beliau berkata, mana-mana pihak yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenainya boleh merujuk persatuan berkenaan di sekolah anak masing-masing. Mengenai pelaksanaannya pula, Jemale berkata, hukuman itu perlu dilaksanakan dengan berhemah termasuk memanggil saksi, manakala guru diarah melaksanakannya mestilah berwibawa.

Katanya, bagi mengelakkan sebarang kesulitan, guru bertugas perlu merujuk pekeliling Kementerian Pelajaran berhubung perkara berkenaan bagi memastikan tindakan dibuat berdasarkan prosedur ditetapkan.

Sep 5 2009

Konsep Disiplin Dalam Ibadat Puasa

Oleh iamaisma 2003

SETIAP ibadah diperintahkan Allah sama ada bersifat kepercayaan, hukum hakam atau tata cara akhlak mempunyai fungsi sosial tersendiri. Ibadah ini mempunyai manfaat yang bagi kehidupan manusia dan bukan suatu yang sia-sia termasuk puasa Ramadan.

Fungsi sosial ibadah puasa bagi melatih disiplin ketahanan diri yang kental dalam setiap diri manusia. Ini dapat dilihat daripada proses perlaksanaan puasa yang menuntut manusia menahan lapar dan dahaga dalam satu tempoh waktu tertentu setiap hari selama sebulan.

Menahan diri dari makan dan minum adalah antara latihan fizikal sungguh mencabar. Ia mengubah tabiat kebiasaan manusia yang sering memerlukan bekalan makanan dan minuman sebagai sumber tenaga bagi mereka menjalani urusan pekerjaan terutama pada siang hari.

Bagi sesetengah pihak, tentu pelik kewajipan ibadah ini. Barang kali ada yang melihat bahawa Islam bersifat antidunia kerana anjuran ibadah boleh mengurangkan prestasi dan kualiti kerja akibat kelemahan fizikal kesan kekurangan bahan tenaga dalam tubuh.

Salah faham dan kekeliruan ini tentu akan mudah terjawab sekiranya seseorang itu mendalami kesan kerohanian yang bakal terbit daripada ibadah ini. Begitu juga bagaimana boleh menyumbang kepada peningkatan kualiti individu dalam menjalani kehidupannya yang serba mencabar kini.

Apabila seseorang itu menahan diri daripada lapar dan dahaga atau berpuasa, ia secara langsung menimbulkan di dalam diri manusia satu tenaga yang dikenal sebagai `daya tahan’. Tenaga ini adalah sebahagian daripada unsur kerohanian yang wujud dalam setiap diri manusia. Daya tahan ialah benteng kebal yang berfungsi seumpama kuasa dalaman yang akan memastikan setiap manusia sentiasa konsisten, bersemangat dan berdaya saing dalam menempuh cabaran hidup.

Memiliki daya tahan yang kental adalah antara ciri yang amat diperlukan oleh setiap individu dan masyarakat pada hari ini. Pada tahap individu, setiap manusia sentiasa terdedah kepada cabaran dalaman dan luaran

Manusia sentiasa mengingini suatu yang terbaik dalam bentuk pencapaian sama ada dalam bidang pekerjaan dan kekeluargaan. Bagi mencapai kecemerlangan hidup dan kebahagiaan, seseorang itu hendaklah meningkatkan kualiti kerja, kesungguhan dan ketelitian. Ini semua memerlukan seseorang itu memiliki daya tahan kental untuk mendapatkan idea baru dalam pekerjaan, meningkatkan disiplin diri dan mewujudkan sistem terbaik bagi memenuhi syarat dan tuntutan kecemerlangan. Tanpa daya tahan, kita akan mudah mengaku kalah mendepani kerumitan, tekanan dan cabaran dalam memenuhi tuntutan kecemerlangan.

Begitu juga dari aspek kekeluargaan. Sebagai manusia, kita mengingini rumah tangga dibina menuju ketenangan dan kebahagiaan sehingga ke akhir hayat. Bagi memenuhi impian ini, kita hendaklah menyempurnakan segala keperluan keluarga pada tahap yang terbaik sama ada dari segi keselesaan rumah, pendidikan anak dan keharmonian berumah tangga.

Bagi mencapai tujuan ini, setiap ahli keluarga memerlukan daya tahan tinggi bagi merancang ekonomi keluarga, mewujudkan ruang dan peluang pendidikan terbaik serta mengamalkan komunikasi kekeluargaan yang berkesan. Membina rumah tangga sempurna memerlukan setiap ahli keluarga sentiasa bermaafan, bersabar, bekerjasama, saling menghormati dan nasihat menasihati antara satu dengan lain.

Semua ini memerlukan seseorang itu memiliki daya tahan dan disiplin yang sungguh tinggi sekali terutama dalam berdepan dengan perbezaan, kepelbagaian dan tekanan dalam hidup kekeluargaan.

Sebagai seorang penganut Islam pula, daya tahan ini amat dituntut terutama dalam kita berusaha menyempurnakan tuntutan agama. Seorang Muslim yang sebenar ialah mereka yang sentiasa memastikan setiap perlakuan hidupnya memenuhi tuntutan beribadah kepada Allah. Ini memerlukan kita bersikap jujur, amanah dan gigih dalam segala urusan kehidupan. Ia memerlukan disiplin diri.

Dorongan nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan sesuatu yang bertentangan dengan fitrah kejadian dirinya adalah cabaran dalam terbesar manusia dalam usaha penyempurnaan ibadah kepada Allah.

Cabaran luaran seperti kegiatan tidak berfaedah dan melalaikan dalam bentuk hiburan dan permainan sering kali juga mengganggu tumpuan kita dalam menyempurnakan ibadah agama. Hanya dengan daya tahan tinggi, kita dapat mendepani segala cabaran ini.

Apabila manusia memiliki daya tahan ini, bermakna, seseorang itu telah mencapai tahap di mana nilai rohani menjadi pemandu dalam perjalanan kehidupannya dan dia tidak lagi didorong oleh hawa nafsunya. Dalam keadaan ini, manusia secara langsung sedang menuju kepada kemajuan hidupnya kerana ia tidak lagi terjebak dengan sifat yang merosakkan dan memusnahkan dirinya.

Jun 7 2009

Terap Disiplin Untuk Kecemerlangan

TERAP NILAI DISIPLIN

Oleh Md Fuzi Abd Lateh

rencana@hmetro.com.my

PENEKANAN aspek disiplin kendiri terhadap pelajar di sekolah usaha berkesan dalam menjana kecemerlangan akademik dan sahsiah mereka sepanjang masa. Tidak dapat dinafikan hanya disiplin diri seimbang mampu menyerlahkan potensi, kebolehan dan bakat dimiliki pelajar.


Pengetua Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (Semashur), Nor Paizin Ibrahim mempunyai pandangan mengenai perkara itu. Mentadbir sekolah menuntut guru lebih kreatif menjana kecemerlangan akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar agar terus mendaki kejayaan.

Setiap pelajar perlu ditanam asas disiplin diri di sekolah. Guru hanya bertindak sebagai ‘ibu bapa kedua’ pelajar. Mustahil kejayaan berganda boleh dikecapi jika pelajar di sekolah tidak berdisiplin. Tanggungjawab ini terletak kepada semua pihak, bukan guru disiplin semata-mata. Sekolah ini mampu mengecapi kejayaan sekolah berasrama penuh terbaik dalam pencapaian peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu kerana pelajar mengekalkan disiplin secara keseluruhannya.


Setiap kesalahan pelajar sama ada di kelas dan asrama perlu menerima hukuman setimpal dan bersesuaian demi mendidik mereka menjadi insan berguna. Sebagai contoh, guru bersetuju melaksanakan sistem ‘kelas tahanan’ kepada setiap pelajar yang gagal menyiapkan kerja sekolah. Mereka ditegah keluar dari kelas jika gagal mematuhi arahan itu.


Saya melihat tindakan ini positif dan bukannya mendera pelajar serta memalukan mereka. Perkara baik perlu diberikan sokongan padu semua pihak. Saya sentiasa mengingatkan guru keluar dari ‘zon selesa’ dengan hanya melakukan perkara rutin kepada sesuatu yang lebih kreatif dan inovatif mendidik pelajar cemerlang ini. Tindakan dan perlakuan positif guru sentiasa menjadi contoh kepada pelajar supaya lebih berdisiplin dalam kehidupan sama ada di sekolah atau rumah.


Usaha membabitkan pelajar secara lebih aktif dengan kegiatan kokurikulum, kesukanan dan program luar bilik darjah turut menyumbang pembentukan akhlak dan sahsiah pelajar. Pelajar aktif mampu membentuk disiplin yang baik walaupun tidak dipaksa guru. Kesedaran ini wujud dalam diri dengan sendiri kerana mereka mampu menilai kesan baik dan buruk.


Saya sentiasa tegas tapi mesra memberi arahan kepada pelajar dalam semua perkara agar mereka tahu matlamat sebenar belajar di sekolah ini. Penerapan amalan disiplin ini faktor kukuh menyumbang kejayaan berharga kepada pelajar dalam semua aktiviti yang diceburi di sekolah setiap masa.

www.pustakatimur.com

May 16 2009

Guru Pembina Negara Bangsa

Selamat Hari Guru

Saban tahun pada 16 Mei kita menyambut Hari Guru. Pelbagai tema yang dicipta untuk memberi gambaran peranan seorang guru. Pengorbanan jiwa raga seorang guru dalam mendidik anak bangsa amat besar. Sebagai guru, mereka harus mempunyai kebolehan menyampaikan ilmu pengetahuan dan kepakaran mendidik akal budi pelajar. Jika ini tercapai generasi muda akan terhindar daripada gejala sosial seperti salah laku, ponteng sekolah, menghisap rokok, penyalahgunaan dadah, gangsterisme, buli, melawan guru dan ibu bapa.

Kejayaan dan keberkesanan pendidikan banyak berkait rapat dengan kesedaran, keinsafan dan tanggungjawab guru sebagai pendidik, di samping mempunyai kelengkapan keilmuan yang cukup dan sahsiah luhur. Segala panduan dan kemahiran disertai keluhuran budi serta peribadi tidak terpisah daripada seseorang guru. Begitulah sewajarnya guru sebagai pendidik yang berkesan. Mereka adalah contoh dan teladan untuk murid, pelajar dan masyarakat.

Kini, zaman makin mencabar. Bebanan guru makin besar yang menuntut kesabaran serta ketanggungjawaban yang amat hebat. Kalau dulu guru sering diagung-agungkan sebagai insan yang terhormat oleh para pelajar, ibu bapa dan masyarakat. Namun hari ini sering kita dengar kehilangan adab pelajar terhadap guru yang membawa wujudnya pelbagai masalah disiplin.

Sebagai anak murid kepada seorang guru kita mestilah menghormatinya, mendengar nasihat dan tunjuk ajar yang disampaikan mereka. Guru sebenarnya tidak mengharapkan balasan, pujian atau penghormatan masyarakat dan ini tidak bermakna mereka tidak boleh menerima ganjaran daripada usaha mendidik anak bangsa.Tetapi kemuncak matlamat kerjaya perguruan tidak boleh diukur dengan pencapaian kebendaan semata-mata.

Setiap guru mestilah mempunyai sifat ketulusan hati, ikhlas bekerja, lemah lembut, menjaga kehormatan diri dan merasai dirinya sebagai ibu dan bapa. Pelajar atau remaja akan berasa terdidik dan mencontohi tingkah laku guru mereka. Layanan guru akan menimbulkan rasa sayang dan hormat pelajar kepada guru. Hal ini akan memudahkan guru memberi didikan dan bimbingan. Mereka perlu mengetahui hak guru iaitu tidak lupa keutamaan, menjaga kehormatan, tidak mengumpat, tidak marah kepadanya.


Doakanlah guru sepanjang hidupnya. Jika mereka meninggal dunia, anak murid wajar menziarahi dan memohon maaf serta bersedekah atas namanya.

www.pustakatimur.com

Apr 25 2009

Tiga Persoalan Dalam Disiplin

Minggu lepas saya bersama beberapa orang pelajar. Mereka bertanya tentang persoalan mengenai disiplin untuk belajar. “Adakah dengan ada jadual belajar sendiri dan kita mematuhinya maka kita dianggap berdisiplin dalam belajar?” tanya salah seorang pelajar. Saya termenung untuk mencari jawapan yang lebih tepat untuk menjawab persoalan tersebut. terlintas difikiran saya tentang tiga perkara. lalu saya menyoal mereka dengan tiga persoalan ini.

  1. Apakah anda telah bosan dan benci dengan tugas anda sebagai seorang pelajar?
  2. Apakah anda menganggap tugas anda sebagai pelajar hanya kerja rutin harian dan anda bertahan     dengannya?
  3. Apakah anda melihat tugas anda sebagai pelajar umpama peluang dan cabaran untuk berjaya dalam hidup?

Maka, ketiga-tiga soalan itu menjadi perbualan anda saya dengan pelajar tadi. Hasilnya mereka mula memahami peranan sebagai seorang pelajar atau seorang pekerja. Huraian tentang persoalan ini akan saya nyatakan dalam keluaran akan datang. Sila beri pendapat anda jika anda mempunyai pandangan tersendiri.

www.pustakatimur.com

  • Kedai Online